Jumaat, 30 September 2011

Keyakinan Diri

Salam sejahtera buat warga Sekolah Seri Puteri dan pembaca sekalian. Menyedari hakikat bahawa masih terdapat segelintir pelajar sekolah yang kekurangan keyakinan diri, kami akan berkongsi sedikit tips dan info tentang keyakinan diri bagi membimbing rakan-rakan khususnya pelajar Sekolah Seri Puteri agar dapat membina jati diri yang kukuh dan mencorak personaliti diri yang unggul dan berketrampilan. 

Pertama sekali, keyakinan diri adalah bukan sesuatu yang dimiliki secara semulajadi dan sudah sedia wujud dalam diri setiap individu. Keyakinan diri selalunya terbentuk daripada latar belakang diri seseorang individu tidak kira sama ada keluarga mahupun alam persekolahan. Keluarga merupakan entiti terdekat yang membantu perkembangan diri individu. Alma mater pula merupakan entiti kedua yang bertindak sebagai rumah kedua bagi pelajar-pelajar. Jadi, guru-guru memegang peranan sebagai ibu bapa kedua para pelajar. 

Kita seringkali mendengar masalah para pelajar yang sukar berkomunikasi sesama sendiri dan masyarakat sekeliling. Mungkin ada antara anda yang mengalami masalah ini dan sedang mencari resolusi bagi menyelesaikan masalah anda. Oleh itu, kami akan berusaha menjadikan blog ini sebagai medium bagi membimbing rakan-rakan dengan nasihat dan maklumat.

Penting bagi anda untuk menyedari bahawa keyakinan diri diperlukan dalam kehidupan seharian bukan sahaja untuk berhadapan dengan masyarakat malah dengan diri sendiri. Para pejuang yang berjihad juga memerlukan keyakinan diri yang mantap sebelum meneruskan jihad. Bagi umat Islam, penting untuk kita meyakini Allah sebagai pembantu kita dalam kehidupan seharian. Kita perlu yakin bahawa Allah mampu membantu kita dan kita juga perlu sedar bahawa sekiranya kita ditimpa sebarang ujian, pasti ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku. 

Keyakinan diri akan memberi impak jangka panjang terhadap kehidupan kita terutamanya sebagai seorang pelajar. Banyak cabaran serta peluang yang menanti. Bahkan untuk memberanikan diri bagi merebut peluang juga memerlukan keyakinan diri. Tanpa keyakinan diri, mampukah setiap perkara dilaksanakan? ANDA MEMPUNYAI KEYAKINAN DIRI. Mungkin anda cuma mempunyai masalah bagi meningkatkan keyakinan diri anda. Oleh itu, kenal pasti apakah masalah anda yang menyebabkan anda kurang yakin dan konfiden. 


Selain itu, anda juga tidak semestinya mendengar seratus peratus komen daripada rakan-rakan atau orang-orang sekeliling. Bagus sekiranya anda mampu menjadi terbuka dan menerima pendapat orang. Tetapi, anda juga perlu percaya dengan diri sendiri. Dapatkan nasihat daripada kaunselor mahupun rakan-rakan sekiranya ahli keluarga anda tidak berkesempatan untuk mendengar masalah anda. Amalkan sikap saling membantu antara rakan agar anda sama-sama mampu berjaya. 

Kami berharap entri ini mampu membantu anda menangani masalah keyakinan diri. Sekiranya anda memerlukan penjelasan yang lebih, anda dialu-alukan bertemu dengan Pembimbing Rakan Sebaya yang sedia membantu anda.


Renung-renungkanlah dan selamat beramal! Terima kasih kerana membaca :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan