Ahad, 18 September 2011

E-learning dan era teknologi. Kita di tahap mana?

Salam sejahtera buat semua. Bagi entri kali ini, kami ingin berkongsi sedikit maklumat menarik tentang proses pembelajaran di sekolah. 






Kebanyakan remaja pada era teknologi maklumat ini mempunyai kecenderungan untuk menggunakan teknologi. Revolusi demi revolusi dalam teknologi membolehkan semakin banyak perkara boleh dilakukan. Sememangnya, apabila memasuki sekolah berasrama, remaja tidak berpeluang memperuntukkan masa bersama kemudahan yang ada di rumah. Kebanyakan merungut. 


Namun, lain halnya di Sekolah Seri Puteri. Anda boleh menarik nafas lega kerana Sekolah Seri Puteri merupakan sebuah sekolah yang bestari yang mana salah satu daripada niche area sekolah adalah ICT( Information and Communication Technology ). Bukan sekadar mempunyai kelengkapan komputer serba baru dan moden, sekolah turut mendapat akses Internet 24 jam yang memungkinkan e-learning dijalankan. Selain itu, sekolah mempunyai pelbagai kelengkapan lain seperti Interactive White Board, TV Plasma dan LCD.
Setiap kelas juga diberikan sebuah komputer.


E-learning merupakan medium pembelajaran yang baru sahaja digunakan dan semakin meluas penggunaannya. Kemudahan yang telah tersedia dimanfaatkan sebaiknya. 


Walaubagaimanapun, E-learning tidak digunakan secara holistik. Oleh yang demikian, keberkesanannya tidak boleh diukur mengikut mana-mana piawaian. Tetapi, berdasarkan feedback yang diperolehi daripada murid-murid, ternyata E-learning merupakan satu kaedah yang efektif dan mampu menarik minat murid-murid untuk belajar. 


Memang tidak dinafikan, susah bagi membendung penyalahgunaan dalam kalangan pelajar. Namun, jika tuntutan untuk belajar menggunakan E-learning ada, bukan sahaja dalam kalangan murid-murid, tetapi juga guru-guru, tidak menjadi masalah sekiranya sekali-sekala, mereka ingin membuka laman sesawang sosial dan belajar sambil mendengar lagu. Tambahan pula, setiap murid mempunyai cara belajar mereka tersendiri. E-learning turut memudahkan proses pembelajaran sekaligus membantu guru meningkatkan pemahaman murid-murid terhadap sesuatu topik disebabkan sifatnya yang interaktif.


Daripada perspektif seorang pelajar, e-learning mungkin hanya merupakan salah satu medium yang guru mereka gunakan untuk mengajar. Namun, daripada satu sudut pandangan yang lain, mereka perlu menyedari bahawa E-learning memberikan manfaat yang lebih dari sekadar belajar. Gunakanlah manfaat yang dimiliki ini sebaik mungkin kerana bukan semua orang mendapat kelebihan yang anda miliki ini.

Renung-renungkanlah dan selamat beramal! Terima kasih kerana membaca :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan